Terima e-mel daripada kawan baik aku yang sudah beberapa tahun putus hubungan. Terkejut juga, sebab dia ini memang tenggelam timbul beberapa tahun lamanya. Kali terakhir, kami jumpa tiga tahun lepas sebelum dia berangkat ke Dubai kerana dapat kerja di sana.
Paling mengejutkan aku dalam e-mel ini, apabila dia sertakan bersama; kad undangan perkahwinannya. "Oh! Sudah mahu kahwin rupa-rupanya kawan baik aku ini. Tahniah Cik Nul, kau kahwin dulu daripada aku! Tak aci sungguh!"
Ada banyak kenangan aku dengan Cik Nul. Dulu kami satu bilik, banyak aktiviti kami lakukan bersama-sama walaupun berlainan fakulti. Dia pelajar kejuruteraan, rakan sekelasnya memang ramai lelaki dan dia pun lasak macam lelaki juga. Berpakaian pun selalunya seperti lelaki. Memang sangat berbeza dengan aku yang feminin dan peminat merah jambu. Dia selalu kutuk kesukaan aku pada warna merah jambu tetapi dalam pada itu, kami sangat serasi.
Kata dia, dia jadi begitu,.."mungkin sebab dulu ibu bapa aku hendak sangat anak lelaki dan aku selalu dipakaikan baju lelaki sekolah kecil."
Masa kami tahun akhir, katanya, dia tidak terfikir langsung hendak berkahwin sebab dia yakin tiada lelaki yang minat dia sebab penampilannya itu.
Ada satu kenangan yang aku tidak boleh lupa berlaku pada kami. Sebab kami akrab sangat; kami pernah mendapat ejekan pasangan lesbian! Dengan personaliti kami yang jauh berbeza; yang seorang jantan habis, yang seorang lagi alahai femininnya; memang tak hairanlah kami digelar begitu.
Paling tidak tahan, apabila beberapa orang senior ‘geng surau’ datang ke bilik kami dengan misi untuk memberikan nasihat agar kami bertaubat! Terkebil-kebil kami menerima kunjungan hormat itu. Selepas mereka berlalu, Cik Nul hentam ketawa terbahak-bahak, bersungguh-sungguh, berguling-guling sampai sakit-sakit perut!
Apa pun,..."selamat pengantin baru, Cik Nul. Ainul, Ainul...kau memang mengejutkan aku. Alhamdulillah, akhirnya bakal bergelar isteri juga kau!"
Salina
* nak komen, sila lah ke www.skafmerahjambu.blogspot.com